How to use this website:

  • Select your preferred language.
  • Scroll down from the homepage to begin.
  • Use the menu tabs at the bottom to move between sections.
  • Click using the middle of the henna hand cursor
  • Follow the ↓ scroll icon to continue exploring each section.

Kisah Mereka

Kaedah Photovoice digunakan sebagai kaedah penyelidikan dan medium ekspresi, membolehkan wanita-wanita ini mendokumentasi kehidupan mereka melalui gambar dan naratif mereka sendiri. Pendekatan ini mengalihkan kuasa daripada penyelidik kepada komuniti, dan menonjolkan pengalaman harian yang sering tidak kelihatan dari pandangan umum.

Dalam konteks ketidaktentuan hidup dan kolonialiti, photovoice menjadi alat bagi mencabar gambaran dominan, di samping mewujudkan ruang selamat untuk berkongsi kisah sensitif. Dengan menyulam kisah-kisah ini ke dalam gabungan penceritaan (composite narratives), projek ini mengekalkan anonimiti (tidak bernama) individu pada masa sama tetap memperkuatkan kebenaran kolektif. Semua foto yang dipamerkan diambil oleh ahli-ahli kolektif sendiri.
Gabungan kisah-kisah ini menyatukan suara ramai wanita, menggabungkan pengalaman mereka menjadi satu naratif bermakna. Setiap cerita merungkai pertembungan di antara ketidaktentuan hidup dan kolonialiti.
Dengan menggabungkan pelbagai perspektif, naratif-naratif ini melindungi identiti individu dan pada masa sama mendedahkan pengalaman yang dikongsi bersama, menyuluh jelas kuasa-kuasa sistemik yang menjejaskan wanita India Malaysia miskin bandar merentas semua generasi.

Semua rakaman dikekalkan dalam bahasa asal mereka, dengan terjemahan untuk memudahkan akses, namun tetap mengekalkan intonasi, emosi dan nuansa sebenar.
Kredit ilustrasi:Selvam Rajamanikam

Antara Apa yang Pernah Ada dan Apa yang Masih Wujud

Kami bekerja di pondok itu, hujan atau panas, dan ia memang sangat susah. Di situlah saya memulakan hidup saya—di situlah saya membesarkan anak saya. Setiap kali kami pergi ke mana-mana, kami akan menghadapi kesusahan; saya sendiri pernah jatuh sakit kerana bekerja di bawah panas terik matahari.

Kerana itu rumah saya. Segala-galanya, yang baik dan yang buruk, berlaku dalam rumah ini. Kesusahan yang saya alami di situ tidak sepatutnya diketahui sesiapa. Saya akan berjalan lurus, kemudian tersadung dan jatuh. Saya akan bangun semula dan berjalan, tetapi saya akan tersadung dan jatuh sekali lagi. Tidak kira berapa kali saya terluka atau jatuh, saya akan terus mencuba sehingga saya mendapat apa yang saya mahukan.

Pernah saya bertanya kepada ibu saya, “Kenapa saya tiada datuk atau nenek?” Dia memberitahu saya, “Mereka sakit… dan mereka telah meninggal.” Tetapi saya tidak pernah merasai kasih sayang atau perhatian daripada datuk dan nenek.

Keluarga sebelah bapa saya langsung tidak mengendahkan kami. Jadi, tiada hubungan langsung antara kami dan mereka.

Datuk, apa yang kamu fikirkan dahulu, mungkin sama dengan apa nenek moyang kami juga fikirkan, “Cucu-cucu aku akan hidup baik suatu hari nanti, anak-anak aku akan hidup baik suatu hari nanti. Mereka akan hidup dengan baik pada masa depan.” Tetapi sekarang tiada apa yang berubah. Keadaannya masih sama. Kami sedang bergelut sekarang, dan kami sedang memikirkan perkara yang sama.

Saya tidak menerima sebarang kasih sayang, Appa… Saya tidak boleh mempercayai lelaki… ia sangat menyakitkan, sangat sukar.

Mengapa kamu tidak membawa saya sekali, Appa? Jika kamu hidup bahagia dengan Amma pada hari itu, hidup saya akan baik hari ini, Appa.

Tetapi saya marah pada kamu kerana satu perkara: kamu tidak tinggalkan apa-apa untuk Amma. Kamu tinggalkan dia begitu sahaja. Sekarang, pada usia tuanya, dia menanggung banyak penderitaan. Sebab itu saya marah pada kamu. Kamu sepatutnya menyimpan sesuatu untuk Amma.

MMungkin jika ayah saya masih ada… saya akan belajar lebih baik. Saya akan masuk kolej. Saya sentiasa mempunyai keinginan untuk belajar di kolej. Tetapi kerana keadaan saya, saya berhenti sekolah pada Darjah 6. Jika dia masih hidup, saya pasti akan mengejar impian saya, masuk kolej.

Tetapi saya telah menjalani kehidupan yang ibu saya tidak pernah dapat lalui. Di rumah ibu, kami bergelut untuk mendapatkan sesuap makan. Tetapi hari ini, saya makan dengan baik dan hidup dengan baik. Semua itu hanya kerana galakan yang ibu saya berikan.

Pengajaran yang saya pelajari daripada masa lalu, daripada ibu saya, ialah nilai kemurahan hati. Walaupun dia tidak mempunyai cukup untuk dirinya sendiri, jika seseorang datang meminta bantuan, dia akan mengajar kami bahawa kami mesti memberi. Itulah yang dia ajarkan, dan saya masih mengikutinya.

Sekarang, saya memastikan anak-anak saya meneruskan pendidikan mereka. Mereka semua belajar dengan sangat baik, lebih baik daripada saya. Kamu pernah kata kamu mahu kami bercakap dalam bahasa Inggeris, bekerja dalam persekitaran berbahasa Inggeris, dan mendapat pekerjaan yang baik. Kini, anak-anak saya sedang memenuhi impian itu untuk kamu.

Kredit ilustrasi:Selvam Rajamanikam

Apa yang Kita Bawa ke Hadapan

Dalam keadaan saya pada masa itu, saya berkahwin. Ibu saya berkata, “Tidak kira sama ada kamu dipukul atau disayangi, kamu mesti hidup dengan dia, kerana kamu sudah menjadi isterinya.” Tetapi saya beritahu ibu saya, “Dulu dia pukul saya. Tapi sekarang, saya tidak akan biarkan dia pukul saya. Jika dia pukul saya, saya akan lakukan apa sahaja yang perlu saya lakukan.”

Sekarang, saya tahu segalanya. Saya tahu bagaimana untuk hidup. Saya tidak akan tunduk kepada kamu. Saya tidak akan datang kepada kamu hanya untuk menjadi seorang hamba. Saya akan menjalani kehidupan saya, dan saya akan hidup dengan cara saya sendiri. Tetapi saya akan tetap tinggal di sini. Saya tidak akan membiarkan sesiapa tidak menghormati saya. Saya tidak boleh hilang semangat. Seperti bagaimana saya menjaga tanaman supaya kekal segar, saya perlu memastikan saya berjaya dalam hidup saya. Tanaman itu mengingatkan saya untuk memperbaiki hidup saya.

Dulu, saya langsung tidak keluar rumah. Saya tidak pergi ke mana-mana. Tetapi hari ini, dengan duit saya sendiri, saya telah melancong ke banyak tempat. Lihat sejauh mana saya telah pergi! Pada masa itu, kami tidak boleh melakukan apa-apa.Tetapi sekarang, saya boleh lakukan segalanya.

Saya pulang ke kampung selama 12 hari. Dahulu, saya tidak akan melangkah keluar pun. Saya takut. Tetapi sekarang, saya tidak takut. Jika kita hidup dalam ketakutan, orang akan buat apa sahaja kepada kita.

Sekarang, saya berjalan dengan yakin. Saya pergi ke mana sahaja yang saya mahu. Semua kekuatan ini datang daripada ibu saya. Dia menunjukkan jalan kepada saya. Dan saya terus melalui jalan itu.

Nenek mempunyai impian besar untuk menunggang motosikal dan mendapatkan lesen. Dia mahu melancong ke seluruh dunia. Tetapi dia tidak dapat melakukan semuanya. Kerana moyang kamu sangat tegas. Mereka akan mengatakan perkara seperti, “Jika kamu menunggang motosikal, kamu akan pengsan dan jatuh,” dan tidak membenarkan saya mendapatkan lesen.

Mereka tidak membenarkan saya keluar bersendirian. Saya sentiasa diawasi. Perkara yang sama berlaku dengan datuk kamu. Tetapi kamu, jangan jadi seperti saya. Kenalah berani.

Jika kamu mahu melancong ke negara lain, pergilah. Jangan fikirkan umur kamu. Jika kamu mempunyai wang, pergilah, alami, nikmati. Kita tidak tahu jika kita akan ada esok. Hidup ini singkat. Walaupun sesuatu itu kecil, nikmatilah sementara kamu boleh.

Tidak kira apa kesukaran yang kamu hadapi, jangan sesekali tinggalkan ibu kamu. Buat dia gembira. Saya seorang ibu tunggal. Anak saya memahami keadaan saya dan, walaupun tanpa seorang ayah, dia tidak tersasar. Dia kekal di jalan yang betul dan menjadi anak yang baik.

Dan saya mahu terus berkembang untuk berubah dan hidup dengan cara yang berbeza, untuk masa depan lebih baik. Saya juga mahu menyampaikan nilai-nilai ini kepada anak-anak saya. Saya sudah memberitahu mereka, dan saya akan terus memberitahu mereka:

“Sama seperti nenek kamu dan saya, kamu mesti bekerja keras, hidup secara jujur, berdoa dengan ikhlas, dan menghormati orang tua.”

Kredit ilustrasi:Selvam Rajamanikam

Orang Tua Kita Hidup Dalam Diri Kita

Takut… ya, takut. Apa yang saya takutkan? Orang kita sudah semakin kurang. Dahulu orang kita bersatu. Sekarang semua berpecah, masalah agama, masalah kerja, di mana-mana, semuanya sangat sukar.

Zaman sekarang, semuanya perlukan duit. Ke mana-mana kita pergi, duit. Tetapi dahulu, kita masih boleh hidup. Hidup di estet memang kehidupan yang benar-benar bahagia.

Sekarang, kerana waktu pejabat dan jadual kerja, semua orang keluar bekerja. Daripada berkumpul dan menghias tempat dengan tebu serta memasak Pongal bersama-sama, orang hanya cepat-cepat masak Pongal di atas dapur dalam lima minit dan terus pergi.

Sekarang, orang berjuang hanya untuk membesarkan dua anak. Saya rasa kita patut hidup dengan lebih berani seperti dahulu—tanpa menyerah kepada kemurungan.

Kami bukan kaya, tetapi tidak terlalu miskin juga, kami berada di tengah-tengah. Jadi apabila cabaran datang, ibu saya tahu bagaimana mahu menghadapinya. Bila saya bertanya padanya, “Macam mana ibu menghadapi semua ini? Macam mana ketika ibu tak dapat bayar hutang atau ketika hidup sangat susah?” Dia berkata, “Itulah cara ibu saya. Berani, tidak takut.

Dia hadapi semuanya dan terus maju ke hadapan.” Semangat untuk tidak membiarkan masalah menjatuhkan kita itulah yang saya lihat dalam ibu saya. Dan kerana itu, saya sangat berterima kasih kepada nenek saya. Dia mungkin tidak lagi bersama kami, tetapi kekuatannya hidup dalam ibu saya.

Saya rasa kamu adalah sumber harapan dan sokongan untuk saya, sentiasa berada di sisi saya, dan saya percaya kamu akan membantu kami mengatasi kesusahan ini. Di mana sahaja kamu berada, saya yakin kamu sedang memberkati kami semua, Nenek.

Saya percaya apa yang orang tua katakan itu betul—kerana ia wujud sejak dahulu. Sekarang orang kata, “rakan sekerja cakap macam ni,” atau “komputer cakap macam tu,” tetapi saya tidak percaya semua itu. Apa yang orang-orang tua katakan, itulah yang saya ikut.

Terima kasih banyak, Appa. Kamu telah melakukan banyak kebaikan untuk saya dalam hidup ini. Kamu membeli rumah untuk saya, kamu membuka perniagaan untuk saya. Saya sangat-sangat berterima kasih atas semuanya. Hidup yang saya jalani hari ini adalah kerana asas yang kamu berikan kepada saya. Saya berjaya lakukan semua yang saya perlu, selangkah demi selangkah.

Tetapi kerana kamu beri saya keberanian itu—mengurus keluarga, bekerja keras—semua itu masih saya bawa hingga hari ini. Saya sedang melakukan kerja yang baik sekarang, Appa. Banyak perubahan berlaku dalam hidup saya kebelakangan ini. Saya menjadi semakin berani dan yakin, dan saya mencapai semua yang saya miliki sekarang. Dalam mimpi saya, saya sentiasa tahu kamu bersama kami.

Tiga gabungan kisah ini menunjukkan bagaimana ketidaktentuan hidup dan kolonialiti terus membentuk kehidupan wanita hari ini. Dari ketidakstabilan ekonomi, kehilangan ahli keluarga, hinggalah tekanan sosial yang diwarisi dari generasi sebelumnya. Melalui kisah mereka, wanita-wanita ini menunjukkan bagaimana kelangsungan hidup bergantung pada kekuatan yang diwarisi dari generasi ke generasi — melalui penjagaan, usaha gigih dan memori.
Dalam Antara Apa yang Pernah Ada dan Apa yang Masih Wujud, para wanita mengenang zaman membesar dalam keadaan serba kekurangan, kehilangan bapa ketika masih kecil, dan dinafikan peluang pendidikan. Pengalaman mereka menunjukkan bagaimana hierarki kolonial meninggalkan batasan yang berpanjangan terhadap akses, kelas sosial dan peluang hidup. Namun, mereka juga bercerita tentang kekuatan senyap ibu-ibu mereka — wanita yang tetap memberi walaupun dalam keadaan serba kekurangan, yang mengajar mereka bertahan, dan yang anak-anaknya kini berjaya mencapai impian yang mereka sendiri tidak sempat kecapi.
Apa yang Kita Bawa ke Hadapan mengumpulkan suara wanita yang menolak ketakutan dan kawalan. Mereka berkongsi tentang keganasan rumah tangga, perkahwinan, dan bagaimana mereka mula membina keyakinan diri selepas bertahun-tahun dihalang daripada bersuara. Penentangan mereka mencabar ketidaktentuan hidup berasaskan jantina, menunjukkan bahawa perubahan bermula dengan harga diri dan tindakan kecil mencapai kebebasan — seperti mencari pendapatan sendiri, melancong, atau mempertahankan diri dan anak-anak mereka.
Orang Tua Kita Hidup Dalam Diri Kita menumpukan kepada memori dan rasa kekitaan. Wanita-wanita ini mengenang masa lalu ketika kehidupan komuniti lebih rapat dan dikongsi bersama, dan kemudian membandingkannya dengan keadaan hari ini yang semakin berpecah-belah dan terasing. Mereka mengaitkan perubahan ini dengan kesan kolonial dan kapitalisme, di mana nilai penjagaan bersama digantikan oleh persaingan. Namun begitu, mereka tetap berpegang pada keberanian dan belas kasihan kepada generasi terdahulu, menjadikan nilai-nilai itu panduan menghadapi masa kini yang tidak menentu.
Secara keseluruhan, kisah-kisah ini menunjukkan bahawa ketidaktentuan hidup bukan hanya tentang pendapatan, tetapi tentang ketidakstabilan dalam setiap aspek kehidupan. Kolonialiti terus menentukan apa yang boleh dicapai oleh wanita, bagaimana mereka dinilai, dan apa yang dijangkakan daripada mereka. Namun dalam batasan tersebut, wanita-wanita ini mencipta bentuk penentangan mereka sendiri, menjadikan ketabahan, jagaan dan kasih sayang, sebagai cara untuk terus hidup dan meneruskan perjuangan.